Rentung Dalam Kereta

 

BANTING: “Kami fikir gempa bumi apabila tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah, manakala rumah pula bergegar,” kata pelajar kolej swasta, Andy Lim, 22, saksi kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback menyebabkan seorang lelaki rentung di Taman Baiduri, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia berkunjung ke rumah rakannya di taman perumahan berkenaan dan sedang berbual apabila berasa impak letupan daripada kereta yang terbakar itu kira-kira jam 2 petang.

“Saya dan rakan segera berlari keluar kerana bimbang rumah akan runtuh sebelum ternampak kereta sedang terbakar dari dalam. “Kami tidak menyangka ada orang dalam kereta terbakar itu berikutan asap tebal menyelubungi ruang dalam kenderaan sehingga tidak nampak sesiapa,” katanya. Katanya, penduduk mula memenuhi kawasan tempat kejadian itu sebelum seorang wanita warga emas muncul tiba-tiba sambil menangis. “Ketika kebakaran berlaku, seorang wanita datang dan menjerit anaknya ada dalam kereta terbakar itu dan meminta orang ramai mengeluarkannya.

“Beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan anaknya, tetapi api semakin marak menyebabkan tiada sesiapa pun berani mendekati kereta itu sebelum berlaku satu lagi letupan,” katanya. Andy berkata, dia segera menghubungi balai bomba kerana bimbang kebakaran melarat sehingga ke rumah penduduk berikutan kedudukan tempat kejadian hampir dengan kediaman. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.02 petang. “Pasukan diketuai Pegawai Bomba, Subakri Basran, tiba enam minit kemudian tetapi api sudah membakar 90 peratus kereta berkenaan. “Api dapat dipadam sebelum anggota bomba dan penyelamat menemui mayat seorang lelaki berusia 40-an rentung di tempat duduk penumpang,” katanya.

 

- Artikel ini dipetik dari Harian Metro -

 

Rate this blog entry:
2
Tagged in: kemalangan proton trafik

Comments